Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi
PERJALANAN KUMPULAN PENDIDIKAN AZ-ZAHRAWI

Sebuah Impian & Cita-Cita Pendidikan Islam

Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi adalah sebuah inisiatif pendidikan persendirian yang menawarkan perkhidmatan pendidikan dan persekolahan swasta secara integrasi. Dibangunkan sepenuhnya dengan modal persendirian, berbekalkan keazaman, pengetahuan, pengalaman dan semangat yang tinggi untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak muslim.

Kami komited untuk mengupayakan tiga teras pendidikan impian kami iaitu melahirkan keunggulan diri khalifah, mementingkan kecemerlangan prestasi dan membangunkan ruang potensi diri. Semua rutin, sistem dan persekitaran institusi pendidikan kami disusun atur sebaiknya bagi mencapai maksud pendidikan impian tersebut.

Dari masa ke masa pelbagai penambahbaikan secara berterusan dilakukan. Kami amat menghargai setiap kebaikan dalam diri murid dan bertekad untuk membangunkan bakat-bakat mereka yang terpendam. Dengan tema ‘Melahirkan Generasi Pintar Soleh Yang Memakmurkan Dunia’, misi dan tanggungjawab ini dikongsi bersama para ibu-bapa yang amat prihatin dan berdedikasi.

2016
Kampus Az-Zahrawi Setia Alam Memulakan Operasi
  • Bermula 2016, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi telah mula mengoperasikan Kampus Az-Zahrawi Setia Alam yang ketika itu menawarkan perkhidmatan Sekolah Rendah Islam An-Najihin Setia Alam dan Tadika Islam An-Najihin Setia Alam. Perlahan-lahan tawaran persekitaran, sistem dan falsafah pendidikan Az-Zahrawi mula mendapat perhatian. Sedikit demi sedikit nama An-Najihin Setia Alam mula dikenali ramai di Bandar Setia Alam dan kemudiannya menjadi antara pilihan utama pendidikan Islam swasta untuk masyarakat dan komuniti di sini.
  • Dalam tempoh awal ini persekitaran, sistem dan falsafah pendidikan Az-Zahawi benar-benar diuji. Kami sentiasa belajar dan belajar lagi. Kami percaya dengan membangunkan bakat di kalangan guru dan staf juga, manfaatnya akan dapat dirasai di dalam hal ehwal pembelajaran, pengajaran dan pengurusan. Semua prosedur operasi harian dan akademik diperkemas dan disistemkan. Pengurusan secara berpusat mula diperkenalkan bagi melancarkan lagi upaya dan kualiti penyampaian.
2018
Kampus Az-Zahrawi Puncak Alam Memulakan Operasi
  • Pada 2018, kami telah memulakan operasi kampus kedua kami iaitu Kampus Az-Zahrawi Puncak Alam di mana kami mula menawarkan perkhidmatan Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi Puncak Alam dan Prasekolah Permata Cilik Az-Zahrawi Puncak Alam. Inilah kali pertama nama ‘Az-Zahrawi’ digunakan secara rasmi di dalam institusi tawaran pendidikan kami.

  • Dengan tawaran pendidikan terkini di Bandar Puncak Alam ini, tanggungjawab Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi semakin berat. Dengan pertambahan lebih ramai murid, ini bermakna bertambahlah juga guru-guru dan kakitangan kami. Sistem pengurusan berpusat diperkemaskan lagi. Upaya kepimpinan secara ‘decentralised’ diberikan kepada Pengurus-pengurus Pusat dan Guru-Guru Besar setiap kampus. Dengan ini sesuatu keputusan strategik menjadi lebih cepat dan lebih berkesan.
2020
Perkhidmatan Pusat Transit Az-Zahrawi Memulakan Operasi
  • Bermula Januari 2020, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi mula menawarkan perkhidmatan sokongan terkini kami pada waktu itu iaitu perkhidmatan Pusat Transit Az-Zahrawi. Pusat Transit Az-Zahrawi ditawarkan di Kampus Az-Zahrawi Setia Alam dan Kampus Az-Zahrawi Puncak Alam. Langkah ini melengkapkan lagi tawaran ekosistem sokongan pendidikan Az-Zahrawi yang sebelum ini hanya menawarkan perkhidmatan sokongan pengangkutan rasmi sahaja.
  • Pada tahun 2020 sejarah tercipta apabila semua institusi pendidikan di bawah pengurusan Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi mula diselaraskan dengan penggunaan nama ‘Az-Zahrawi’.
2022
Mendapat Anugerah Sekolah Rendah Islam Swasta Cemerlang Peringkat Negeri Selangor
  • Pada tahun 2022, sistem pengurusan dan pendidikan, rutin dan persekitaran kami telah disemak, dan diiktiraf sendiri oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor. Pengalaman manis buat kami, apabila kedua-dua buah sekolah kami iaitu SRI Az-Zahrawi Setia Alam dan SRI Az-Zahrawi Puncak Alam telah terpilih menjadi wakil akhir bagi daerah masing-masing bagi kategori ini. Akhirnya pada 31 Mei 2022, SRI Az-Zahrawi Puncak Alam telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Rendah Islam Swasta Cemerlang, Peringkat Negeri Selangor.

2023
Kampus Az-Zahrawi Hillpark Memulakan Operasi
  • Pada tahun 2023, sebuah kompleks pendidikan dengan fasiliti dan kemudahan yang terkini telah berjaya disiapkan bukan sahaja untuk sekolah menengah pertama kami, juga untuk sebuah lagi prasekolah integrasi dan sebuah lagi sekolah rendah integrasi bagi keperluan masyarakat muslim setempat. Kampus ketiga kami kali ini berada di Bandar Hillpark, Puncak Alam, Selangor. Di kampus ini kami mula menawarkan perkhidmatan Prasekolah Permata Cilik Az-Zahrawi Hillpark, Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi Hillpark, Sekolah Menengah Az-Zahrawi dan Pusat Transit Az-Zahrawi Hillpark.
2024
Taska Izz Kiddy Childcare Centre Az-Zahrawi Memulakan Operasi
  • Pada tahun 2024 mencatat sejarah baharu bagi kami apabila memulakan tawaran perkhidmatan pendidikan yang terkini iaitu Taska Izz Kiddy Childcare Centre khusus untuk asuhan anak-anak 0 hingga 3 tahun. Izz Kiddy buat masa ini hanya ditawarkan di Bandar Setia Alam terlebih dahulu.

2024
Dapur Berpusat Ezzy Kitchen Az-Zahrawi Memulakan Operasi
  • Pada tahun 2024 juga, buat kali pertamanya kami menubuhkan dapur berpusat kami sendiri iaitu Ezzy Kitchen Az-Zahrawi yang memfokuskan kepada penyediaan juadah makanan harian kepada semua institusi pendidikan Az-Zahrawi. Ezzy Kitchen juga mula menyediakan perkhidmatan katering, jualan makanan siap makan, pes dan makanan sejuk beku secara berperingkat.
2024
Azzahrawi Edumart Memulakan Operasi
  • Azzahrawi Edumart juga ditubuhkan pada tahun 2024 bagi menguruskan kedai koperasi sekolah yang menyediakan jualan produk asasi sekolah seperti uniform, buku, barangan rasmi Az-Zahrawi dan juga lain-lain bahan jualan seperti makanan, minuman dan alatulis secara langsung ataupun secara kedai online untuk pasaran terbuka.
  • Selain menawarkan sistem dan perkhidmatan persekolahan persendirian, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi juga giat membangunkan modul-modul pembelajaran kami sendiri. Modul-modul dan buku-buku berjilid berkenaan juga turut digunakan di beberapa sekolah dan institusi lain di seluruh negara dan ada juga yang dikembangkan menjadi pelbagai modul latihan oleh pelbagai pihak.
2025
Mendapat Anugerah PSRA & UPKK Terbaik Peringkat Daerah Kuala Selangor
  • Pada tahun 2025, usaha berterusan dalam memperkasa kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar telah membuahkan hasil yang membanggakan. Dengan sistem pendidikan yang tersusun serta bimbingan guru yang komited, Sekolah Az-Zahrawi terus melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah PSRA & UPKK Terbaik Peringkat Daerah Kuala Selangor.

  • Pengiktirafan ini menjadi bukti keunggulan pendekatan pendidikan Az-Zahrawi yang seimbang antara ilmu dunia dan akhirat. Kejayaan ini juga merupakan hasil sinergi erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa serta kesungguhan para pelajar dalam menuntut ilmu.

Hari ini, ibu bapa dan murid-murid kami amat serasi dengan sistem, rutin dan persekitaran berasaskan Program Pintar Soleh Az-Zahrawi (PPSA) yang amat mementingkan upaya kurikulum tersembunyi (hidden curriculum) yang dijalankan bersama-sama kurikulum formal KAP, KSPK, KSSR dan KSSM. PPSA diterapkan secara rasmi di dalam jadual dan rutin harian pelajar, aktiviti mingguan, bulanan dan tahunan, aktiviti ko-kurikulum, aktiviti usrah home room dan kejohanan sukan dan permainan. PPSA juga diterapkan sebagai salah satu indeks pencapaian prestasi para guru, staf dan bahagian-bahagian pengurusan di dalam Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi.

Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi dijangka akan menawarkan beberapa lagi tawaran perkhidmatan inovatif berkaitan pendidikan dalam tempoh lima tahun lagi. Impian kami jelas iaitu untuk menyebarluaskan lagi upaya pendidikan Islam yang dapat melahirkan generasi pintar soleh yang memakmurkan dunia.

Bagi mengukuhkan lagi nilai tawaran pendidikan kami, Pelan Transformasi Az-Zahrawi 2026–2030 diperkenalkan. Kandungan pelan ini adalah termasuk memulakan Ujian Kemasukan Az-Zahrawi (UKA) sebagai pra-syarat kemasukan ke Tahun 1 bagi program Sekolah Rendah Integrasi (SRI) dan Tingkatan 1 bagi program Sekolah Menengah (SMA) kami. Beberapa indikator penting dan pencapaian garis masa telah ditetapkan bagi memastikan sekolah-sekolah Az-Zahrawi dapat mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 50 sekolah swasta terbaik di Negeri Selangor menjelang 2030.

Pelan ini juga turut menetapkan beberapa penambahbaikan tadbir urus korporat, latihan dan pembangunan kepimpinan strategik, aktiviti penjenamaan dan tawaran khidmat masyarakat bagi pencapaian transformasi organisasi yang lebih menyeluruh.

Inspirasi perjuangan pendidikan Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi hari ini hadir dari ibrah dan ketokohan Abul Qasim Khalaf Ibn Al-Abbas Al-Zahrawi Al-Ansari (936–1013) seorang saintis, ahli fizik, pakar bedah dan ahli kima yang unggul pada Zaman Keemasan Islam Andalusia satu masa dahulu. Beliau membuktikan iman, ilmu, amal, adab dan potensi manusia sentiasa seiring dengan kehendak kemajuan dan peradaban. Didoakan Allah memberkati beliau.

Bagi kami di Az-Zahrawi tiada lain yang lebih manis, dari dapat melihat anak-anak muslim, mempunyai kredibiliti yang tersendiri, akhlak yang tinggi dan berkeperibadian yang unggul.

Generasi Az-Zahrawi sentiasa dilatih agar menjadi individu muslim yang beriman, pandai bekerjasama, prihatin, mempunyai upaya kepimpinan, berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab. Semoga semua ini menjadi sebahagian dari usaha kita bersama mencapai impian membina negara yang cemerlang dan diampuni (baldatun toyyibatun, wa rabb ghafur). InsyaAllah.

#pintarsoleh #memakmurkandunia #hazihisabili