Salam Mahabbah
HAIRUL HISHAM BIN ABDUL HALIM
Salam mahabbah dan selamat sejahtera buat semua.
Selama lebih sedekad, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi menawarkan solusi pendidikan Islamik yang menyeluruh. Perkhidmatan kami meliputi keperluan asuhan dan pendidikan untuk anak-anak muslim sejak dari 0 tahun hingga 17 tahun.
Di institusi pendidikan Az-Zahrawi, kami amat mementingkan pengalaman pembelajaran dan perkhidmatan pendidikan secara holistik. Banyak sistem pengurusan pendidikan yang inovatif diperkenalkan. Nilai-nilai pengurusan dan pengoperasian harian amat mementingkan tatakelola dan urus tadbir korporat yang profesional.
Kami percaya perkhidmatan pendidikan yang disampaikan melalui nilai hormat, bertanggungjawab, amanah, lestari dan keusahawanan ini dapat memberi kesan tingkahlaku yang diharapkan sepanjang anak-anak didik kami belajar bersama Az-Zahrawi.
Dari nilai-nilai ini lahirlah pendekatan dan rutin pendidikan Az-Zahrawi yang unik dan tersendiri. Dengan tiga tonggak pendidikan utama iaitu khalifah, prestasi dan potensi; setiap aspek pembangunan murid dan guru disusun secara strategik.
Usaha-usaha ini dapat melahirkan sistem pendidikan yang berkesan, persekitaran yang selamat untuk semua, pendekatan pendidikan yang tepat dan amalan pembelajaran yang menyeronokkan.
Selamat datang ke Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi. Mari kita bina generasi ini sebagai sebaik-baik sandaran bagi masa depan agama, bangsa dan negara ini. InsyaAllah taala.
MOHD HAFISZI BIN OTHMAN
Salam mahabbah fillah buat semua.
Alam persekolahan adalah satu tempoh penting pendidikan.
Di sinilah kita mula mengenali diri sendiri. Keseronokan pembelajaran menyebabkan kita bertambah minat kepada sesuatu. Kita diminta mencuba banyak perkara baharu ketika di sekolah. Kita bersukan, kita berdebat, kita menyanyi dan menari, kita kalah dan menang di sekolah.
Kita mula diberi peluang mencabar diri melakukan sesuatu yang sukar. Kita bergaul dan mempunyai sahabat. Kita belajar menghargai dan dihargai. Kita diberi amanah kepercayaan menjadi ketua dan juga sabar sebagai pengikut. Kita silap dan membuat pembetulan. Kita betul dan diberi penghargaan.
Sekolah mesti kekal menyeronokkan. Sekolah mesti sentiasa memberi peluang dan ruang. Sekolah mesti mengajarkan tentang impian. Sekolah mesti mengajar semangat cintakan ilmu dan kebenaran. Sekolah mesti mendidik keberanian dan tanggungjawab.
Inilah yang tersemat kuat di jiwa kami. Dedikasi dakwah kami buat ummah ini. Sentiasa berikan yang terbaik demi agama ini. Inilah dia jalan kami; hazihi sabili.
Selamat datang ke Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi. Impian kami jelas, mahu melahir dan membangunkan bakat pintar soleh yang memakmurkan dunia.

